Nuffnang Code

Tuesday, 14 January 2014

Kisah Kita


Kisah kita terlalu indah untuk dikenang. Terlalu manis untuk dilupakan. Perbezaan bukan penghalang kepada rasa hati kita. Kita saling percaya dan saling memahami. Kita tidak menghiraukan kata-kata orang sekeliling kita yang selalu berunsur negatif tiada kata semangat untuk kita melalui perhubungan tidak bernama kita. Bagi aku dialah sahabat, dialah ‘mata’ku dan pemberi semangat saat aku di pandang rendah disebabkan oleh kekuranganku.

Setiap petang di bawah pohon itu, dia selalu bercerita kepada aku suasana sekeliling kita. Meriahnya ketawa kanak-kanak bermain. Gembiranya remaja bergurau senda dengan rakan-rakan mereka. Bunyi lakaran pensilnya di atas kertas memberitahuku bahawa dia sedang melukis mungkin juga menulis. Setiap kali aku bertanya apa yang dia tulis ataupun lukis; dia selalu cakap ‘ini Kisah Kita. Ini titipan kenangan kisah kita.’ Dia terlalu yakin yang satu hari nanti aku akan dapat melihat semula.

Seperti hari-hari yang lalu, aku datang lagi di bawah pohon itu. Aku menanti kehadiran dia. Ingin mendengar lagi cerita-ceritanya tentang suasana disekelilingku. Ingin mendengar lagi bunyi lakaran pensilnya. Tetapi penantian aku tiada penghujungnya, dia tidak datang petang itu. Aku sangka hanya hari itu sahaja dia tidak datang rupa melarat ke hari-hari lainnya. Aku hairan ke mana menghilangnya dia. Sehari membawa ke minggu, minggu membawa ke bulan dan bulan membawa ke tahun. Aku terus menanti. Tiada lagi bunyi lakaran pensil. Tiada lagi gambaran keadaan disekelilingku. Tiada lagi ‘mataku’. Tiada lagi insan yang akan menemani aku setiap petang.

 

Lima tahun kemudian…


Aku hadir  lagi di bawah pohon itu tetap menanti kehadiran yang tidak kunjung tiba. Aku sedar kini aku telah kehilangannya. Mungkin ini kesudahan penantian aku. Aku tiada berkesempatan untuk melihat hasil nukilannya. Keesokannya aku hadir lagi  ke situ. Aku hairan melihat seseorang yang duduk berhampiran tempat yang aku selalu duduk menanti. Aku tidak menghiraukannya terus aku melabuhkan duduk ditempat biasa aku duduk. Tiba-tiba dia  menghulurkan satu buku lakaran kepadaku. Aku teragak-agak mengambilnya. Dalam hati aku tertanya-tanya diakah itu yang aku tunggu selama ini. Namun tiada jawapan yang bersahut.

Aku membuka perlahan buku lakaran tersebut. Saat mataku menyapa halaman pertama buku lakaran tersebut air mataku mengalir tanpa sedar. Jelas tertulis di situ ‘KISAH KITA’ dan di hujung buku lakaran tersebut tercatat ‘Ini titipan kenangan kisah kita ’. Tulisan tersebut seakan-akan menceritakan segalanya. Membuatkan hati aku merindui dia yang menjadi mataku. Aku sangat berharap dia ada disisiku. Menemani. Bercerita. Tetapi semuanya telah tiada kini. Semuanya telah hilang. Meninggalkan aku sendiri.

Kehilangan dia aku relakan walaupun seakan-akan enggan dilepas rasa itu. Sakit. Sedih. Perit. Sakit yang dialaminya bertahun lamanya berakhir dengan aku kehilangannya. Selamanya. Kembali kepada Penciptanya. Titipan kenangan yang dititipkan buat adiknya untuk diserahkan kepadaku aku tatap dengan seribu satu rasa. Seribu satu kenangan. Akhirnya dia pergi setelah aku dapat melihat semula. Wajah yang aku ingin tatap telah meninggalkan aku. Tiada wajah yang dapat aku kenang. Hanya suara tanpa wajah.