Kisah
kita terlalu indah untuk dikenang. Terlalu manis untuk dilupakan. Perbezaan
bukan penghalang kepada rasa hati kita. Kita saling percaya dan saling
memahami. Kita tidak menghiraukan kata-kata orang sekeliling kita yang selalu
berunsur negatif tiada kata semangat untuk kita melalui perhubungan tidak
bernama kita. Bagi aku dialah sahabat, dialah ‘mata’ku dan pemberi semangat
saat aku di pandang rendah disebabkan oleh kekuranganku.
Setiap
petang di bawah pohon itu, dia selalu bercerita kepada aku suasana sekeliling
kita. Meriahnya ketawa kanak-kanak bermain. Gembiranya remaja bergurau senda
dengan rakan-rakan mereka. Bunyi lakaran pensilnya di atas kertas memberitahuku
bahawa dia sedang melukis mungkin juga menulis. Setiap kali aku bertanya apa
yang dia tulis ataupun lukis; dia selalu cakap ‘ini Kisah Kita. Ini titipan
kenangan kisah kita.’ Dia terlalu yakin yang satu hari nanti aku akan dapat
melihat semula.
Seperti
hari-hari yang lalu, aku datang lagi di bawah pohon itu. Aku menanti kehadiran
dia. Ingin mendengar lagi cerita-ceritanya tentang suasana disekelilingku.
Ingin mendengar lagi bunyi lakaran pensilnya. Tetapi penantian aku tiada
penghujungnya, dia tidak datang petang itu. Aku sangka hanya hari itu sahaja
dia tidak datang rupa melarat ke hari-hari lainnya. Aku hairan ke mana
menghilangnya dia. Sehari membawa ke minggu, minggu membawa ke bulan dan bulan
membawa ke tahun. Aku terus menanti. Tiada lagi bunyi lakaran pensil. Tiada
lagi gambaran keadaan disekelilingku. Tiada lagi ‘mataku’. Tiada lagi insan
yang akan menemani aku setiap petang.
Lima
tahun kemudian…
Aku
hadir lagi di bawah pohon itu tetap
menanti kehadiran yang tidak kunjung tiba. Aku sedar kini aku telah
kehilangannya. Mungkin ini kesudahan penantian aku. Aku tiada berkesempatan
untuk melihat hasil nukilannya. Keesokannya aku hadir lagi ke situ. Aku hairan melihat seseorang yang
duduk berhampiran tempat yang aku selalu duduk menanti. Aku tidak
menghiraukannya terus aku melabuhkan duduk ditempat biasa aku duduk. Tiba-tiba
dia menghulurkan satu buku lakaran
kepadaku. Aku teragak-agak mengambilnya. Dalam hati aku tertanya-tanya diakah
itu yang aku tunggu selama ini. Namun tiada jawapan yang bersahut.
Aku
membuka perlahan buku lakaran tersebut. Saat mataku menyapa halaman pertama buku
lakaran tersebut air mataku mengalir tanpa sedar. Jelas tertulis di situ ‘KISAH
KITA’ dan di hujung buku lakaran tersebut tercatat ‘Ini titipan kenangan kisah
kita ’. Tulisan tersebut seakan-akan menceritakan segalanya. Membuatkan hati
aku merindui dia yang menjadi mataku. Aku sangat berharap dia ada disisiku. Menemani.
Bercerita. Tetapi semuanya telah tiada kini. Semuanya telah hilang. Meninggalkan
aku sendiri.
Kehilangan
dia aku relakan walaupun seakan-akan enggan dilepas rasa itu. Sakit. Sedih. Perit.
Sakit yang dialaminya bertahun lamanya berakhir dengan aku kehilangannya. Selamanya.
Kembali kepada Penciptanya. Titipan kenangan yang dititipkan buat adiknya untuk
diserahkan kepadaku aku tatap dengan seribu satu rasa. Seribu satu kenangan. Akhirnya
dia pergi setelah aku dapat melihat semula. Wajah yang aku ingin tatap telah
meninggalkan aku. Tiada wajah yang dapat aku kenang. Hanya suara tanpa wajah.