Nuffnang Code

Tuesday, 14 January 2014

Kisah Kita


Kisah kita terlalu indah untuk dikenang. Terlalu manis untuk dilupakan. Perbezaan bukan penghalang kepada rasa hati kita. Kita saling percaya dan saling memahami. Kita tidak menghiraukan kata-kata orang sekeliling kita yang selalu berunsur negatif tiada kata semangat untuk kita melalui perhubungan tidak bernama kita. Bagi aku dialah sahabat, dialah ‘mata’ku dan pemberi semangat saat aku di pandang rendah disebabkan oleh kekuranganku.

Setiap petang di bawah pohon itu, dia selalu bercerita kepada aku suasana sekeliling kita. Meriahnya ketawa kanak-kanak bermain. Gembiranya remaja bergurau senda dengan rakan-rakan mereka. Bunyi lakaran pensilnya di atas kertas memberitahuku bahawa dia sedang melukis mungkin juga menulis. Setiap kali aku bertanya apa yang dia tulis ataupun lukis; dia selalu cakap ‘ini Kisah Kita. Ini titipan kenangan kisah kita.’ Dia terlalu yakin yang satu hari nanti aku akan dapat melihat semula.

Seperti hari-hari yang lalu, aku datang lagi di bawah pohon itu. Aku menanti kehadiran dia. Ingin mendengar lagi cerita-ceritanya tentang suasana disekelilingku. Ingin mendengar lagi bunyi lakaran pensilnya. Tetapi penantian aku tiada penghujungnya, dia tidak datang petang itu. Aku sangka hanya hari itu sahaja dia tidak datang rupa melarat ke hari-hari lainnya. Aku hairan ke mana menghilangnya dia. Sehari membawa ke minggu, minggu membawa ke bulan dan bulan membawa ke tahun. Aku terus menanti. Tiada lagi bunyi lakaran pensil. Tiada lagi gambaran keadaan disekelilingku. Tiada lagi ‘mataku’. Tiada lagi insan yang akan menemani aku setiap petang.

 

Lima tahun kemudian…


Aku hadir  lagi di bawah pohon itu tetap menanti kehadiran yang tidak kunjung tiba. Aku sedar kini aku telah kehilangannya. Mungkin ini kesudahan penantian aku. Aku tiada berkesempatan untuk melihat hasil nukilannya. Keesokannya aku hadir lagi  ke situ. Aku hairan melihat seseorang yang duduk berhampiran tempat yang aku selalu duduk menanti. Aku tidak menghiraukannya terus aku melabuhkan duduk ditempat biasa aku duduk. Tiba-tiba dia  menghulurkan satu buku lakaran kepadaku. Aku teragak-agak mengambilnya. Dalam hati aku tertanya-tanya diakah itu yang aku tunggu selama ini. Namun tiada jawapan yang bersahut.

Aku membuka perlahan buku lakaran tersebut. Saat mataku menyapa halaman pertama buku lakaran tersebut air mataku mengalir tanpa sedar. Jelas tertulis di situ ‘KISAH KITA’ dan di hujung buku lakaran tersebut tercatat ‘Ini titipan kenangan kisah kita ’. Tulisan tersebut seakan-akan menceritakan segalanya. Membuatkan hati aku merindui dia yang menjadi mataku. Aku sangat berharap dia ada disisiku. Menemani. Bercerita. Tetapi semuanya telah tiada kini. Semuanya telah hilang. Meninggalkan aku sendiri.

Kehilangan dia aku relakan walaupun seakan-akan enggan dilepas rasa itu. Sakit. Sedih. Perit. Sakit yang dialaminya bertahun lamanya berakhir dengan aku kehilangannya. Selamanya. Kembali kepada Penciptanya. Titipan kenangan yang dititipkan buat adiknya untuk diserahkan kepadaku aku tatap dengan seribu satu rasa. Seribu satu kenangan. Akhirnya dia pergi setelah aku dapat melihat semula. Wajah yang aku ingin tatap telah meninggalkan aku. Tiada wajah yang dapat aku kenang. Hanya suara tanpa wajah.

 

 

 

Saturday, 21 December 2013

Aku, Dia dan Pertemuan




Bersama Aku dan Pertemuan kami bersantai bersama dengan membuang pandang ke arah beberapa orang remaja yang sedang bergelak ketawa dengan pasangan masing-masing. Aku yang tidak pernah mempunyai pasangan berasa sedih dan mengadu hal tersebut kepada Pertemuan.


Aku: Pertemuan, Aku cemburu tengok remaja-remaja tu. Mereka nampak gembira sangat,  Aku sedih.

Pertemuan: Sepatutnya Aku bersyukur sebab jiwa dan hati Aku masih terpelihara dari dicemari dengan cinta yang penuh dengan dosa dan noda.

Aku: Apa maksud, Pertemuan? Aku tak faham. 

Pertemuan: Tengoklah mereka di sana. Bergelak ketawa, bercampur lelaki dan perempuan, bertepuk tampar dan berpegangan tangan seakan-akan menceritakan betapa agung cinta mereka dan betapa bahagianya mereka dengan cinta mereka. Mereka seakan-akan tidak menghiraukan larangan ALLAH. Menidakkan hak wali masing-masing. Itu ke yang Aku mahu?

Aku: Tapi Aku cemburu. Mereka nampak sangat bahagia.

Pertemuan: Bahagia dalam dosa. Itulah yang sedang berlaku. Aku takkan dapat bahagia seandainya Aku berkiblatkan bahagia orang lain. Bahagia itu bukan apa yang Aku ada tapi apa yang Aku rasa. Bahagia itu bukan bermakna Aku harus memiliki tetapi memberi dengan ikhlas. Bahagia itu tak perlu Aku cari kerana bahagia sudah berada dalam hati Aku. Hanya menunggu Aku untuk merasainya.

Aku: Aku nak sangat bertemu dengan Dia. Tapi Aku tak tahu Dia kat mana. Bila Aku akan bertemu dengan Dia, Pertemuan?

Pertemuan: Pertemuan tak tahu. Tapi, percayalah satu hari nanti Aku akan bertemu juga dengan Dia cepat atau lambat. Dengan penuh keberkataan dan kasih sayang dengan bersandarkan ikatan yang suci, ijab dan kabul.

Aku: Aku akan tunggu saat itu.

Aku dan Pertemuan saling berbalas pandang dengan senyuman harapan. Agar Dia akan bertemu dengan Aku, menghulurkan salam perkenalan yang Pertemuan bicarakan.


Wednesday, 11 December 2013

Beginilah Aku


Beginilah aku…
Insan lain sibuk bangkit meraih kejayaan,
 sedang aku sibuk bangkit dari kegagalan.

Beginilah aku…
Insan lain sibuk mencanang cinta,
Sedang aku sibuk mencanang cita.

Beginilah aku…
Insan lain sibuk mencari teman hidup,
Sedang aku sibuk mencari semangat hidup.

Beginilah aku…
Saat insan lain meraih erti hidup,
Sedang saatku masih mencari erti hidup.

Beginilah aku…
Saat insan lain mencapai keinginannya,
Sedang saatku masih berfikir keinginanku.

Beginilah aku…
Saat insan lain menikmati kebahagiaan,
Sedang saatku baru mengenal apa itu kebahagiaan.

Begitulah aku...

Sekadar ilham yang ingin dikongsi...

"sepi itu indah buat hati yang tenang"